Summary: | Perlu diakui penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan semakin meningkat, akan
tetapi tidak banyak wanita yang dapat melepasi halangan untuk memegang jawatan tinggi
dalam sesebuah organisasi. Perkara ini jelas memperlihatkan kewujudan fenomena siling
kaca masih berlaku. Kajian telah dijalankan ke atas 60 orang Penolong Penguasa Kastam
wanita untuk melihat tahap dan faktor-faktor yang dominan dalam mempengaruhi fenomena
siling kaca di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah. Selain daripada melihat konflik kerja�keluarga, kepuasan kerjaya dan hak kesamarataan sebagai faktor yang boleh mempengaruhi
fenomena siling kaca, kajian ini turut mengkaji satu faktor baru yang kurang diketengahkan
dalam kajian berkaitan fenomena siling kaca iaitu Perceived Organizational Support (POS).
Hasil kajian mendapati tahap fenomena siling kaca yang berlaku di Jabatan Kastam
sememangnya tinggi tetapi responden mengambil langkah untuk bertahan disebabkan tempoh
fasa berkhidmat masih baru dan majoriti responden masih dalam peringkat membina keluarga
kerana telah mendirikan rumah tangga pada usia yang masih muda. Walaupun pada awalnya
responden menolak kewujudan konflik kerja-keluarga dalam mempengaruhi fenomena siling
kaca, tetapi hasil analisis regrasi mudah menunjukkan konflik kerja-keluarga merupakan
faktor utama yang mempengaruhi fenomena siling kaca. Tidak dinafikan dwi tanggungjawab
yang perlu dilakukan oleh responden mampu memberi impak terhadap kerjaya mereka.
|