Summary: | Kajian ini meneliti secara empirikal sikap bahasa, pemilihan serta penggunaan bahasa Melayu
dalam kalangan pelajar Melayu di Singapura. Selain itu, kajian ini dilakukan untuk mengenal
pasti serta meniliti faktor-faktor pelajar Melayu di Singapura tidak memilih dan menggunakan
bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Kajian ini turut dijalankan untuk melihat sifat
keprihatinan serta kepekaan pelajar terhadap langkah-langkah inisiatif yang wujud dipersekitan
mereka. Ini disebabkan pelajar Melayu di Singapura pada abad ini jarang menggunakan bahasa
Melayu sebagai alat untuk berinteraksi. Oleh demikian kajian ini dapat menyedarkan para
pelajar serta memberi sumbangan dalam bentuk maklumat kepada kementerian pendidikan di
Singapura. Pengkaji menjalankan kajian di Singapura dengan berpandukan kepada ulasan kosa
ilmu daripada pengkaji-pengkaji terdahulu. Penelitian terhadap sikap bahasa ini memanfaatkan
pendekatan aspek sosiolinguistik. Pengkaji menggunakan kaedah kuantitatif dalam kajian ini.
Untuk itu, pengkaji menggunakan kaedah soal selidik iaitu dengan mengedarkan sebanyak 120
borang soal selidik untuk diisikan oleh pihak responden berumur dalam lingkungan 13 hingga
25 tahun ke atas. Kaedah pemerhatian dan juga kaedah rakaman turut digunakan ketika temu
bual berlangsung. Manakala data pula dianalisis menggunakan program SPSS untuk menguji
kesignifikan objektif yang telah dibentuk. Hasil kajian mendapati bahawa sikap bahasa terhadap
bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Melayu Singapura adalah berbeza-beza mengikut
angkubah-angkubah yang telah ditetapkan. Secara keseluruhan, hasil kajian menunjukkan
bahawa kebanyakan responden mempunyai sikap bahasa yang positif terhadap bahasa Melayu.
Sikap bahasa yang positif ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mendapat tempat dan
kedudukan yang tinggi dalam kalangan pelajar bangsa Melayu di Singapura.
|