Summary: | Kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti kategori densiti payudara yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk
menyebabkan kanser payudara tidak dikesan atau disalah diagnos. Kelulusan etika menjalankan penyelidikan telah
diperolehi daripada Jawatankuasa Etika Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebanyak 495 kes telah dipilih
daripada ujian mamografi yang dijalankan di Jabatan Radiologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Setiap kes mempunyai empat imej mamografi. Semua kes mamografi ini telah diasingkan kepada empat kumpulan
diagnosis iaitu negatif benar, positif benar, positif palsu dan negatif palsu. Kemudian, setiap kes mamografi dibahagikan
mengikut empat kategori densiti payudara BI-RADS (a, b, c, d). Analisis kebarangkalian risiko (odd ratio) setiap
kategori densiti payudara dengan keputusan positif palsu dan negatif palsu dilakukan dengan menggunakan ujian
regresi logistik. Kebarangkalian wanita yang mempunyai payudara densiti BI-RADS d didiagnos sebagai positif palsu
adalah empat kali ganda berbanding wanita yang mempunyai payudara densiti BI-RADS a (odd ratio [OR], 4.27; 95%
CI,0.88- 20.67). Manakala, wanita yang mempunyai payudara densiti BI-RADS b dan BI-RADS c mempunyai hampir
dua kali ganda kemungkinan didiagnosis sebagai negatif palsu berbanding wanita berdensiti BI-RADS a (odd ratio
[OR], 1.59, 1.32; 95% CI, 0.29-8.77, 0.25-7.01). Densiti payudara dalam mamografi mempengaruhi keputusan
diagnosis pakar radiologi dalam pengesanan kanser payudara. Kes mamografi yang mempunyai densiti BI-RADS d
lebih cenderung disalah diagnosis. Manakala pengesanan kanser dalam payudara berdensiti BI-RADS b dan c lebih
berisiko untuk tidak dikesan. Penelitian yang lebih perlu diberikan dalam mentafsir imej mamografi berdensiti BI-RAD
b, c dan d bagi mengelakkan kanser disalah diagnosis atau tidak dikesan di peringkat awal. Pengesanan awal kanser
payudara dapat meningkatkan kemandirian pesakit kanser.
|