Summary: | Makalah ini membincangkan tentang budaya material yang terdapat di 17 tapak peleburan besi
Sungai Batu, Lembah Bujang. Kajian budaya material terhadap tinggalan relau, kesan sisa
pembakaran, sisa besi, bijih besi, pecahan tuyere, alat logam dan alat batu adalah penting untuk
membuktikan kewujudan industri besi dalam skala yang besar telah berlangsung seawal tahun
535 Sebelum Masihi hingga kurun ke-15 Masihi di Kompleks Sungai Batu. Teknik peleburan
besi yang dijalankan adalah secara langsung (bloomery) dengan suhu peleburan antara 1150°C -
1200°C bersama penggunaan bahan pemangkin ataupun fluks. Peleburan besi akan
menghasilkan jongkong besi yang dikenali sebagai besi kembang (bloom) yang seterusnya akan
didagangkan. Kekayaan sumber mentah bijih besi, tanah liat dan bahan bakar serta
kedudukannya yang strategik merupakan faktor utama yang menyebabkan industri besi di
Sungai Batu berterusan pada jangka masa yang lama. Penemuan 17 tapak peleburan besi yang
kaya dengan budaya material telah membuktikan bahawa industri ini merupakan salah satu
ekonomi penting masyarakat awal Lembah Bujang ketika itu.
|