Summary: | Dharmala N.S sebagai penulis cerpen turut menghasilkan karya genre seram khasnya dalam dekad
80-an dan 90-an dengan nama samaran Tok Awang Ngah. Genre seram sebelum ini bergerak dari
khazanah cerita lisan kesusasteraan Melayu tradisional. Antara cerita seram yang digubah Tok
Awang Ngah dan ditumpukan dalam kajian ini ialah Berkelahi dengan Syaitan (1986), Berlawan
dengan Syaitan (1996), Pengasih Minyak Cenuai (1997), Gadis Dinodai Jin (1986) dan Godaan
Syaitan (1992). Metodologi yang digunakan untuk analisis adalah melalui kajian kepustakaan.
Rungkaian genre seram ini bertujuan untuk meneliti teknik dan strategi naratif yang digunakan Tok
Awang Ngah sehingga karya berkenaan dikelompokkan sebagai genre seram. Teknik yang
dimaksudkan melibatkan plot, gaya bahasa, latar, sudut pandangan dan watak perwatakan. Menerusi
kerangka naratologi yang diajukan Mieke Bal, segala teknik ini dilanjutkan dalam perbincangan
strategi naratif. Penemuan kajian ini dapat mengenalpasti teknik dan strategi naratif yang digunakan
Tok Awang Ngah dalam berkarya. Antara strategi naratifnya adalah menerusi plot yang kronologi,
menggunakan dua sudut pandangan, memanfaatkan bahasa asing, latar alam ghaib dan watak
pengamal perubatan tradisional. Implikasi kajian ini dapat mengimbangkan tanggapan umum
terhadap genre cerita seram yang selama ini rata-rata diterima sebagai picisan dan popular. Karya
Tok Awang Ngah dapat memperjelas genre ini khususnya dalam konteks kesusasteraan Melayu.
|