Summary: | Pembelajaran Bercirikan Kepelbagaian dan Global (DGL) adalah elemen keempat Amalan
Pendidikan Berimpak Tinggi (HIEPS) yang diaplikasikan dalam pembangunan aplikasi MOOC
TITAS 2.0 di universiti awam di mana aplikasi ini menggunakan pendekatan pembelajaran dan
diskusi terbuka dalam talian secara maya, aktif dan interaktif. Seiring dengan kepantasan
perkembangan teknologi internet, komputer dan telefon pintar di era Revolusi Industri 4.0 ini,
aplikasi ini turut merangkumi model, metod dan pendekatan interaktif dan efektif yang telah
menjadikan proses PdP kursus TITAS lebih aktif. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif
teknik survei melalui pengedaran instrumen soal selidik secara google form. Seramai 1373 pelajar
daripada lima zon merangkumi 13 UA terlibat sebagai responden kajian. Persampelan kajian adalah
secara berkelompok dan rawak mudah. Data dianalisis menggunakan perisian SPSS 25.0 bagi
mendapatkan analisis deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan amalan DGL dalam aplikasi MOOC
TITAS 2.0 membolehkan pelajar melontar idea berkaitan isu semasa tempatan dan global, menjadi
kritis, empati dan rasional dalam menilai isu-isu semasa masyarakat, mewujudkan ruang komunikasi
sosial antara pelajar dan komuniti, mengaplikasikan teknologi pengajaran di dalam pembelajaran,
dan berupaya mendapat tindak balas segera atau secara langsung semasa pembelajaran
berlangsung. Kajian merumuskan bahawa DGL dalam MOOC TITAS 2.0 merupakan pendekatan
terbaik pelaksanaan pembelajaran kursus TITAS di universiti awam Malaysia.
|