Summary: | Bagi menganalisis pengaruh faktor motivasi intrinsik terhadap prestasi kerja, kajian ini telah
menggariskan beberapa objektif iaitu untuk mengkaji pengaruh faktor motivasi dari aspek
pencapaian ke atas prestasi kerja, mengkaji pengaruh faktor motivasi dari aspek pengiktirafan
ke atas prestasi kerja dan juga mengkaji pengaruh faktor motivasi dari aspek peningkatan diri
ke atas prestasi kerja. Pemboleh ubah bebas dalam kajian ini ialah faktor motivasi intrinsik
yang terdiri daripada aspek pencapaian, pengiktirafan dan juga peningkatan diri. Manakala bagi
pemboleh ubah bersandar ialah prestasi kerja. Bagi mencapai kesemua objektif tersebut,
kaedah survei dijalankan ke atas kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala
Lumpur. Hasil kajian menunjukkan bahawa aspek pencapaian memberi pengaruh signifikan
yang paling besar terhadap prestasi kerja. Ini diikuti faktor peningkatan diri. Bagaimanapun
faktor pengiktirafan tidak mempengaruhi prestasi kerja. Implikasi kajian kepada teori
menunjukkan bahawa Teori Dua Faktor Herzberg iaitu faktor motivator masih lagi relevan
kerana setiap pekerja memerlukan faktor tersebut untuk memastikan prestasi mereka berada
dalam keadaan yang baik di sepanjang tempoh mereka bekerja.
|