Summary: | Kajian ini membincangkan enam elemen Aristotle dalam teater Menunggu Lampu Hijau karya Hatta
Azad Khan. Teater Menunggu Lampu Hijau mula dipentaskan pada tahun 2013 dan diterbitkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2015. Teater ini telah dipentaskan lebih tiga kali dan
merupakan monodrama yang paling banyak dipentaskan berulangkali. Oleh itu, kajian ini bertujuan
mengupas struktur dalaman teater ini bersandarkan ‘enam elemen drama’ yang dikemukan oleh
Aristotle. Enam elemen tersebut merangkumi tema, plot, bahasa, watak dan perwatakan, muzik serta
unsur kekaguman. Reka bentuk kajian ini adalah kaedah kualitatif untuk memperolehi data bagi artikel
ini. Kaedah kepustakaan digunakan untuk meneliti bahan-bahan bercetak dan digital. Selain itu,
kaedah analisis kandungan diaplikasi untuk meneliti sumber primer iaitu teater Menunggu Lampu
Hijau yang dipentaskan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada Oktober 2018. Hasil
kajian mendapati kehadiran enam elemen yang menjadi kekuatan struktur teater ini. Sesebuah karya
sastera bertunjangkan kepada tema dan plot yang sememangnya berkait rapat dengan struktur
pembinaan karya sastera. Elemen bahasa, watak dan perwatakan merupakan elemen yang
menggerakkan dan menyampaikan mesej dalam pementasan teater tersebut. Penggunaan muzik dan
unsur kekaguman dapat membantu menarik perhatian penonton dan mempengaruhi mereka terhadap
pementasan pementasan teater tersebut.
|