Summary: | Abdul Hadi Awang merupakan sosok yang terkenal dengan ketokohannya dalam bidang agama dan
juga politik. Pendekatan politik yang dibawa sering memberi impak dan pengaruh yang besar terhadap
landskap politik tanah air. Sebagai seorang tokoh agama dan juga selaku presiden sebuah parti Islam,
maka setiap apa yang dilakukan olehnya bersandarkan kepada al-Quran dan hadis. Oleh itu, kajian ini
dilakukan bertujuan untuk mengkaji pemikiran Abdul Hadi Awang terhadap hadis-hadis kepimpinan.
Metode yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk kualitatif. Segala data yang diperolehi
adalah berdasarkan analisis dokumen daripada karya-karya penulisan Tuan Guru terutamanya dalam
Bahasa Melayu. Manakala hadis yang dipilih adalah berdasarkan yang sering digunakan dalam
penulisan beliau. Hal ini bertujuan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemikiran yang
ingin diteliti. Dapatan menunjukkan bahawa menjadi pemimpin dan melaksanakan urusannya
merupakan kewajipan yang perlu dilakukan mengikut acuan yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Perkataan siyasah meskipun tidak disebutkan secara nyata dalam al-Quran, tetapi ianya jelas
disebutkan dalam hadis yang membawa maksud memerintah, mentadbir dan memimpin.
Menafikannya sebahagian daripada Islam boleh dianggap sebagai sesat. Amanah memimpin negara
mestilah diserahkan kepada orang yang mempunyai hubungan yang dekat dengan Allah SWT kerana
ianya merupakan amanah yang besar. Sekiranya seseorang itu tidak menjaga waktu solat, maka urusan
kepimpinan tidak boleh diserahkan kepadanya apatah lagi yang tidak mendirikannya. Ketaatan kepada
pemimpin adalah bersifat tidak mutlak. Hanya wajib memberikan ketaatan kepada pemimpin yang
berpegang teguh dengan ajaran Islam.
|