Summary: | Isu-isu berkaitan halal dan haram amat penting bagi masyarakat Islam di Malaysia kerana
ianya berkaitan dengan pelbagai aspek sosial dan budaya seperti perhubungan, pakaian,
makanan dan juga perniagaan. Ramai yang berpandangan bahawa isu berkaitan halal dan
haram - iaitu apa yang dibenarkan dan dilarang dalam Islam - sering dikaitkan dengan makanan
dan juga pergaulan. Berteraskan dinamik kedua-dua konsep ini dalam kehidupan seharian,
kajian ini bertujuan untuk menyelidik representasi leksis halal dan haram dalam wacana
Parlimen Malaysia menerusi analisis berpandukan korpus bagi meneliti bagaimana dan dalam
konteks apa kedua-dua konsep dibahaskan di parlimen. Objektif ini dicapai dengan melihat
trend kekerapan dan penggunaan leksis halal dan haram dalam konteks wacana Parlimen
Malaysia dan seterusnya evolusi semantik kedua-dua terma ini dari satu hukum kepada satu
komoditi dapat ditelusuri. Data kajian ini diperolehi dari Malaysian Hansard Corpus (MHC)
yang meliputi Parlimen 1 (1959-1964) hingga Parlimen 13 (2013-2018) dan bersaiz lebih
kurang 157 juta patah perkataan. Dapatan kajian menunjukkan perbezaan pada pola
penggunaan halal dan haram dalam MHC. Pada awalnya, leksis halal dikaitkan dengan konsep
dan undang-undang Islam, namun penggunaan halal telah berkembang menjangkau ke
beberapa domain seperti perniagaan, pelancongan, kosmetik dan ekosistem. Ini jelas
menunjukkan usaha menjadikan halal sebagai satu cara hidup. Penggunaan leksis haram pula
sering dikaitkan dengan domain seperti aktiviti, objek dan kumpulan orang. Pola penggunaan
menunjukkan fungsi haram sebagai kata sifat yang mengubah nilai bagi kata nama daripada
neutral kepada negatif di Malaysia. Penelitian bagi perkataan-perkataan yang kerap muncul
bersama dengan halal dan haram dalam MHC menunjukkan trend penggunaannya yang
semakin meluas dan pada masa yang sama memaparkan variasi makna dalam wacana parlimen
yang meliputi jangka waktu hampir 60 tahun.
|