Summary: | Pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi impak kepada beberapa sektor, terutamanya terhadap sektor pendidikan. Pembelajaran secara fizikal terpaksa ditukar kepada pembelajaran secara dalam talian bagi menjamin keselamatan warga pendidikan. Kajian ini bertujuan untuk meneroka sikap pelajar Bajau Ubian terhadap pembelajaran Bahasa Melayu dalam talian. Kajian ini turut meninjau faktor yang mempengaruhi motivasi pelajar Bajau Ubian terhadap pembelajaran Bahasa Melayu secara dalam talian. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif. Seramai tiga orang pelajar Bajau Ubian dipilih sebagai peserta kajian dengan menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Data dikumpulkan melalui kaedah temu bual melalui Google Meet sebagai instrumen kajian. Dapatan kajian mendapati kesediaan pelajar, minat pelajar dan disiplin pelajar merupakan sikap pelajar Bajau Ubian terhadap pembelajaran Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kedua pelajar Bajau Ubian. Dari aspek motivasi pelajar pula, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi motivasi pelajar, iaitu sikap guru yang kurang bersemangat dan kurang bermotivasi, persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif, dan subjek Bahasa Melayu sebagai wajib lulus. Implikasi kajian ini ialah guru-guru Bahasa Melayu perlu kreatif dalam menarik minat pelajar Bajau Ubian untuk berminat dan bermotivasi belajar Bahasa Melayu walaupun belajar secara dalam talian.
|