Summary: | Sejarah genre cerpen Melayu yang bermula seawal dekad 20-an menjalani perkembangan yang
sangat erat dengan milieu masyarakat. Kebanyakan pengarang menyaring pertelingkahan yang
berlaku pada zamannya lalu dirakam dalam cerpen dengan gaya lurus dan langsung. Aliran
realisme ini berlanjutan hingga dekad 60-an. Memasuki dekad 70-an, berlakunya
kecenderungan baru apabila para pengarang ini mendapat pendedahan dari konvensi Barat
terhadap struktur dan muatan cerpen. Pendidikan dan pembacaan mereka sangat merubah
susuk genre pencerpenan tanahair dan ia berlanjutan dalam dekad seterusnya. Kebanyakan
karya yang dihasilkan mendekati gaya eksperimental dan inovatif khasnya yang melibatkan
aspek struktur. Ia antara lain melibatkan gerak plot yang tidak konvensi, latar yang tidak konkrit
serta watak yang tidak jelas. Rata-rata kecenderungan karya sebegini diistilahkan sebagai
avant garde. Antara cerpenis yang sering didakwa menghasilkan karya avant garde adalah
Marsli N.O. Beberapa kumpulan cerpennya seperti Biduan (1994), Demi (1998), Politikus,
Badut dan Sebuah Cermin (2009), Gunting (2012), Penipu (1997) dan Menanti Buraq (2008)
menampilkan gaya yang sedemikian. Tulisan ini antara lain memperlihatkan corak
kecenderungan Marsli N.O. dengan gaya avant garde berdasarkan himpunan cerpennya yang
berkenaan. Antara dapatan kajian adalah pengaruh pembacaan Marsli N.O. ke atas penciptaan
plot yang jungkir balik, latar yang tidak bersifat realisme dan watak manusia yang sering
ditamsilkan dalam garapan simbol, perlambangan atau satira yang membawa makna dan
perutusan tertentu. Antara perutusan yang dibawakan Marsli N.O adalah berhubungan dengan
politik dan sosial semasa.
|