Summary: | Kajian ini bertujuan untuk mengungkap pemilihan bahasa yang terselit atau tersembunyi jauh di
utara tanah air iaitu di Alor Setar, Kedah. Kajian ini juga bertujuan melihat bahasa apakah
yang kerap dipilih oleh masyarakat Siam di sekitar Alor Setar, Kedah dalam empat domain
utama serta faktor yang mempengaruhi pemilihan bahasa mereka. Dalam kajian ini, subjek yang
dipilih adalah golongan masyarakat Siam yang majoritinya memberi keutamaan kepada bahasa
Siam, jadi pengkaji juga menghuraikan tanggapan dan penilaian terhadap pemilihan bahasa
oleh mereka. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah campuran iaitu menggabungkan
kaedah kuantitatif serta kualitatif. Pendekatan yang digunakan termasuklah penggunaan
instrumen borang soal selidik serta temu bual. Seramai 100 orang responden di Alor Setar,
Kedah dipilih untuk melengkapkan soal selidik serta temu bual. Dapatan kajian memaparkan
masyarakat Siam memberikan keutamaan kepada bahasa Siam dan bahasa Melayu dalam
keempat-empat domain yang dikaji iaitu domain kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan,
keagamaan dan pekerjaan. Dapatan kajian juga menafsirkan bahawa masyarakat Siam memberi
penilaian dan tanggapan yang sama rata terhadap kelima-lima bahasa termasuk bahasa
Melayu, bahasa Siam, bahasa Melayu campur bahasa Siam, bahasa Inggeris dan bahasa lain.
|