Summary: | Apologia Sang Panitera dalam kumpulan Dekon Saya dari Tanjung Penaga (2015) hasil
karya Marzuki Ali berkisarkan tentang seorang pengarang yang didakwa atas pertuduhan
kes penderaan terhadap gadis berusia 15 tahun melalui penulisannya yang berjudul Diakah
Salmah? pada tahun 1929. Watak Salmah dalam karya Marzuki Ali merupakan watak yang
teraniaya kerana sikap pengarangnya yang terlalu ghairah mengejar kemajuan bangsa.
Karya ini mengimbau kembali kisah Salmah yang terdapat dalam novel Iakah Salmah? karya
Ahmad Rashid Talu. Sehubungan itu, artikel ini mengaplikasi teori intertekstualiti untuk
menjawab persoalan tentang persamaan watak Salmah dalam drama Apologia Sang
Panitera dengan watak Salmah dalam novel Iakah Salmah?. Aspek pemindahan dari
hiperteks kepada hipoteks yang dilakukan oleh Marzuki Ali dalam Apologia Sang Panitera
berdasarkan karya Iakah salmah? diteliti. Kaedah kajian ini adalah kualitatif dengan kajian
perpustakaan sebagai instrumen kajian utama. Dapatan kajian dalam artikel ini adalah
terdapat proses transformasi dari aspek watak dan perwatakan, dan aspek plot penceritaan
dalam drama Apologia Sang Panitera berdasarkan novel Iakah Salmah? Empat watak yang
melalui proses transformasi dan dikekalkan nama dan perwatakannya berdasarkan
hiperteksnya. Prinsip transformasi juga terdapat pada bahagian permulaan dan
perkembangan plot sahaja. Manakala pada bahagian peleraian, Marzuki Ali telah membuat
pengubahsuaian yang agak ketara daripada hiperteksnya.
|