Summary: | Kaedah peruasan paru-paru tanpa seliaan adalah proses mandatori bagi membangunkan Sistem Dapatan Semula Imej
Perubatan Berdasarkan Kandungan (CBMIRS) untuk imej sinar-x dada (CXR). Setakat ini, kajian berkenaan CXR bagi
mesin mudah alih sangat terhad walhal ianya penting kerana pesakit yang tenat akan didiagnos menggunakan mesin
mudah alih. Kajian ini membentangkan penyelesaian yang kukuh untuk peruasan paru-paru CXR bagi mesin pegun dan
mudah alih, dengan kaedah automatik berasaskan penuras terbitan Gaussian dengan tujuh orientasi, digabungkan dengan
teknik pengklusteran Fuzzy C-Means dan pengambangan untuk memperincikan kerangka paru-paru. Algoritma baru
untuk menghasilkan nilai ambang secara automatik bagi setiap tindak balas Gaussian juga diperkenalkan. Algoritma ini
digunakan untuk kedua-dua CXR PA dan AP daripada set data awam (JSRT) dan persendirian yang diperolehi daripada
hospital kolaboratif. Dua blok pra-pemprosesan diperkenalkan untuk menyeragamkan imej dari mesin yang berbeza.
Perbandingan dengan kajian terdahulu yang menggunakan set data JSRT menunjukkan kaedah kami menghasilkan
keputusan yang memberangsangkan. Penilaian prestasi (ketepatan, F-skor, kepersisan, kepekaan dan kekhususan) bagi
peruasan dari set data JSRT adalah lebih daripada 0.90, kecuali skor-bertindih (0.87). Nilai median skor-bertindih bagipangkalan data imej persendirian adalah 0.83 (mesin pegun) dan 0.75 (dari dua jenis mesin mudah alih). Algoritma ini
juga pantas, dengan purata masa pelaksanaan 12.5s. Kaedah ini berupaya beroperasi tanpa penyeliaan, latihan atau
pembelajaran untuk peruasan paru-paru bagi radiograf yang diambil dari mesin yang mempunyai piawaian berbeza, serta
berupaya untuk digunakan dalam aplikasi CBMIRS.
|