Summary: | Kajian ini dijalankan untuk melihat perbezaan yang signifikan dalam penghargaan kendiri,
strategi kognitif regulasi emosi dan kemurungan mengikut kumpulan umur. Hubungan antara
penghargaan kendiri dan strategi kognitif regulasi emosi dengan kemurungan juga dikaji.
Kajian ini menggunakan teknik persampelan mudah yang melibatkan 180 orang lelaki
dewasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Alat ujian yang digunakan ialah Rosenberg
Self-Esteem Scale (RSE) untuk mengukur penghargaan kendiri, Cognitive Emotion
Regulation Questionnaire versi pendek (CERQ-short) untuk mengetahui strategi kognitif
regulasi emosi yang digunakan oleh seseorang selepas mengalami peristiwa negatif dan
Beck Depression Inventory II (BDI-II) untuk mengukur tahap kemurungan. Keputusan kajian
mendapati bahawa golongan lelaki dewasa pertengahan mempunyai tahap penghargaan
kendiri yang lebih tinggi berbanding dengan golongan lelaki dewasa awal, t(178) = -1.993, p
< 0.05. Golongan lelaki dewasa awal lebih banyak menggunakan cara berdaya tindak
maladaptif dalam strategi kognitif regulasi emosi [t(68.17) = 4.415, p < 0.01] dan
mempunyai tahap kemurungan yang lebih tinggi [t(113.77) = 3.58 , p < 0.01] berbanding
dengan golongan lelaki dewasa pertengahan. Penghargaan kendiri berkorelasi secara
signifikan dengan kemurungan (r = -0.602, p < 0.01). Hasil kajian memberi input kepada
perancangan program untuk meningkatkan penghargaan kendiri dan mengurangkan
penggunaan cara berdaya tindak maladaptif supaya dapat mengurangkan tahap kemurungan
seseorang.
|