Summary: | Politik pilihan raya iaitu isu semasa yang dipolitikkan mendapat perhatian seterusnya
sokongan pengundi kepada parti politik masing-masing menjelang pilihan raya umum
untuk mengekalkan kuasa mahupun merampas kuasa daripada pihak. Justeru, adalah
menjadi tujuan kajian ini untuk menganalisis senario politik pilihan raya menuju
PRU-14 di kawasan DUN Damak, Jerantut, Pahang. Dari segi geografi pilihan raya,
DUN Damak merupakan kawasan yang terdiri daripada kawasan bandar, separa
bandar dan luar bandar yang mempunyai 20 kawasan daerah mengundi serta
merupakan kawasan majoriti etnik Melayu. Bagi mencapai objektif kajian 100 orang
responden telah dipilih yang merupakan pengundi di kawasan tersebut dengan
menggunakan instrumen borang soal selidik, pemerhatian di lapangan serta rujukan
terhadap sumber sekunder yang berkaitan. Data daripada borang soal selidik telah
dianalisis menggunakan perisian SPSS dan dibentangkan dalam bentuk jadual serta
rajah. Hasil kajian mendapati bahawa persepsi dan partisipasi responden adalah
berbeza-beza berdasarkan kepelbagaian latar belakang demografi dan sosioekonomi
mereka. 50.0 peratus pengundi di kawasan DUN Damak dikenal pasti bergiat aktif
berpartisipasi dalam politik dengan mendengar ceramah politik yang dianjurkan
semasa kempen pilihan raya. Pandangan mereka dalam politik tempatan ini juga
dipengaruhi oleh sumber-sumber maklumat politik yang disampaikan dan 32.0 peratus
daripada keseluruhan responden menyatakan penggunaan media alternatif merupakan
satu medium baru untuk mendapatkan sumber maklumat berkaitan politik kerana
media ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan 37.0 peratus responden menyatakan
bahawa mereka paling mempercayai sumber maklumat politik daripada media
elektronik. Dari segi sokongan kepada parti politik pula, majoriti responden
menyatakan keyakinan rakyat terhadap pemimpin sedia telah terhakis dan jangkaan
perubahan besar dalam politik tanah air akan berlaku pada PRU-14.
|