Summary: | Perbincangan ini meninjau kumpulan puisi 77 Tuju: Siri Ingatan kepada Kawan oleh Zaen
Kasturi (2014, Institut Terjemahan & Buku Malaysia). Penelitian ini memanfaatkan beberapa
tanggapan terhadap “introspeksi” dalam hubungannya dengan pemikiran Melayu seperti yang
diajukan Zaen Kasturi menerusi kumpulan puisinya ini. “Introspeksi” atau “muhasabah diri”
menjadi lorong untuk pembaca melakukan proses merenung diri atau pencerminan diri. Antara
tanggapan tentang “introspeksi” itu diteliti dengan menggembleng satu kerangka kajian dalam
kesusasteraan Melayu yang dijana Hashim Awang iaitu Pengkaedahan Melayu. Hashim Awang
sangat mempertimbangkan secara saksama dalam membentangkan idealisme Pengkaedahan
Melayu khasnya di bawah Pengkaedahan Keagamaan. Penemuan penelitian ini adalah terhadap
kecenderungan Zaen Kasturi mengungkap “introspeksi” menerusi puisi-puisinya, menerusi tiga
jalur pendekatan. Pertama, dalam konteks dakwah, Zaen Kasturi jelas banyak membentangkan
figura Nabi Muhammad. Sosok Rasulullah ini dihadirkan sebagai contoh dan teladan unggul
untuk khalayak Islam melakukan introspeksi menerusi sifat-sifat utama baginda iaitu seperti
siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana). Kedua,
dalam konteks kemasyarakatan, Zaen Kasturi sekian bahagian dalam puisi-puisinya mengangkat
pemerihalan “kawan” yang lebih komunikatif dalam urusan introspeksi diri dan “kawan”
sebahagian daripada komponen masyarakat. Ketiga, dalam konteks seni, jelas penggemblengan
kebahasaan Zaen Kasturi terhadap diksi dan gaya bahasa metafora untuk memperlihatkan
elemen introspeksi menerusi pemilihan kosa kata dan kiasan. Keseluruhannya, menerusi lensa
dakwah, kemasyarakatan dan seni yang dipayungi Pengkaedahan Keagamaan, Zaen Kasturi
antaranya banyak mengajukan pemerihalan introspeksi. Ia menarik apabila dikaitkan dengan
kedudukan sudut pandang kumpulan ini yang menumpu terhadap frasa “ingatan kepada
kawan”, iaitu satu anjuran untuk tujuan bermuhasabah.
|