Summary: | Perkhidmatan pengembangan merupakan salah satu khidmat yang disediakan dalam sektor
pertanian. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merupakan salah satu agensi yang
menyediakan perkhidmatan pendidikan pengembangan kepada pekebun kecil sawit
persendirian di bawah Unit Pengembangan dan Latihan. Kumpulan Pusat Tunjuk Ajar Sawit
(TUNAS) yang terletak di bawah unit ini bertanggungjawab memberikan khidmat pendidikan
pengembangan seperti ceramah teknikal, tunjuk kaedah, nasihat dan bimbingan di tapak
melalui pegawai TUNAS yang dilantik. Mereka bertanggungjawab memberi perkhidmatan
seperti menyampaikan maklumat dan teknologi terkini berkaitan tanaman sawit selain
menyalurkan skim bantuan kerajaan kepada pekebun kecil yang terlibat. Kualiti
perkhidmatan pegawai TUNAS memberi impak kepada amalan pertanian baik pekebun kecil
sawit. Walau bagaimanapun, pekebun kecil sawit persendirian masih menghadapi pelbagai
kekangan yang menyebabkan mereka sukar untuk maju sekiranya tiada sokongan dan
bantuan. Juga faktor kesedaran yang terhad terhadap teknologi baru dan amalan pertanian
baik menyukarkan pekebun kecil untuk memenuhi keperluan Roundtable on Sustainable
Palm Oil (RSPO). Justeru, objektif artikel ini adalah untuk menilai persepsi perkhidmatan
pengembangan pegawai TUNAS dan amalan pertanian baik pekebun kecil yang berada di
Saratok, Sarawak. Seramai 173 orang pekebun kecil menilai pegawai TUNAS yang memberi
perkhidmatan pengembangan kepada mereka menerusi borang soal selidik. Kajian mendapati
majoriti pekebun kecil memberikan nilai tinggi kepada pegawai TUNAS dalam komponen
komunikasi, sikap dan keperibadian, dan kepimpinan. Selain itu, pekebun kecil memberikan
nilai sederhana kepada pegawai TUNAS bagi komponen pengetahuan dan tunjuk cara teknik
pertanian. Manakala impak kepada amalan pertanian baik pula, didapati pekebun kecil yang
mengikut pematuhan adalah amalan pembajaan sawit dan amalan penuaian sawit. Manakala
amalan sistem perparitan, rekod dan integrasi serta amalan bebas penyakit dan parasit masih
berada pada tahap sederhana selepas menerima pemindahan teknologi. Oleh itu, unit
pengembangan MPOB perlu memperbanyakkan latihan dan kursus kepada pegawai TUNAS
sejajar dengan keperluan pekebun kecil dalam meningkatkan produktiviti sawit.
|