Summary: | Kajian Arkeologi di Sabah hanya bermula sekitar 1960-an, dan diterajui oleh Tom
dan Barbara Harrison. Walau bagaimanapun, kajian mereka hanya bersifat
tinjauan awal dan ekskavasi. Hasil tinjauan tersebut telah membawa kepada
penemuan rangka awal prasejarah yang dikatakan dapat dipertarikhan pada
40,000 Sebelum Masihi. Oleh itu, zaman Paleolitik di Sabah pada awalnya
dikatakan bermula agak lewat dan tidak berdasarkan kepada pentarikhan mutlak.
Pada tahun 1980-an, Peter Bellwood daripada Universiti National Australia (ANU)
telah menjalankan kajian arkeologi yang lebih sistematik dan saintifik di Lembah
Tingkayu dan pentarikhan radiokarbon telah digunakan dalam kajian ini. Susulan
daripada pentarikhan mutlak tersebut, maka buat pertama kalinya, kronologi
budaya di Lembah Tingkayu dapat dibina. Zaman Paleolitik di Lembah Tingkayu
dikatakan bermula sekitar 28,000 tahun dahulu. Walau bagaimanapun, kajian
terkini menunjukkan bahawa kemungkinan Zaman Paleolitik di Sabah bermula
jauh lebih awal lagi. Hal ini adalah berdasarkan kepada kajian di Lembah Mansuli
yang telah memberikan pentarikhan mutlak dengan kaedah pandar kilauan
rangsangan optik iaitu 235,000 tahun dahulu. Kajian arkeologi di Sabah juga telah
menunjukkan bahawa selain di timur Sabah, bahagian pedalaman sebelah barat
Sabah turut memiliki tapak terbuka Paleolitik. Tapak ini berusia sekitar 53,000
hingga 44,000 tahun dahulu berdasarkan kepada pentarikhan pandar kilauan
rangsangan optik. Ini menunjukkan bahawa bahagian barat dan pendalaman
Sabah lebih lewat diduduki oleh masyarakat Paleolitik berbanding dengan di
timur Sabah. Selain itu, di bahagian utara Sabah juga turut ditemui tapak terbuka
Paleolitik. Kedua-dua tapak ini dikatakan merupakan bengkel pembuatan alat
batu. Penyelidikan arkeologi di Sabah juga turut menunjukkan bahawa material
batuan untuk penghasilan alat batu juga berbeza mengikut kawasan. Di
pedalaman Sabah, batuan kuarzit telah digunakan sebagai sumber material
batuan, sementara batuan rijang pula telah digunakan di bahagian utara dan timur
Sabah. Ini juga menunjukkan bahawa masyarakat Paleolitik di Sabah mengetahui
jenis material batuan yang sesuai untuk dijadikan alat batu yang terdapat di
persekitarannya. Keberadaan sumber bahan asas batuan ini juga berkemungkinan
menjadi salah satu faktor sesuatu kawasan tersebut diduduki oleh masyarakat
Paleolitik.
|