Summary: | Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia hubungan harmoni antara agama amat penting
mengekalkan kewujudan bersama. Kumpulan minoriti agama Kristian mempunyai sejarah
mendalam dengan majoriti Muslim di negara ini. Walaupun umumnya mengetahui toleransi antara
majoriti Muslim dengan minoriti Kristian adalah baik, namun realitinya ketidaktoleransian
terhadap kumpulan minoriti agama Kristian juga berlaku. Kajian ini adalah untuk mendalami
perspektif minoriti Kristian tentang ketidaktoleransian dalam isu-isu agama yang melibatkan
hubungan antara minoriti Kristian dan majoriti Islam. Objektif kajian ini dibahagi kepada dua:
pertamanya untuk mengetahui bentuk-bentuk ketidaktoleransian agama yang dialami oleh minoriti
Kristian dan keduanya untuk meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi ketidaktoleransian agama
terhadap golongan minoriti Kristian. Konsep ketidaktoleransian agama dalam artikel ini membawa
maksud terdapat pengecutan ruang, sekatan dan penganiayaan terhadap kumpulan minoriti dalam
mengamalkan agama mereka. Artikel ini menggunakan primer yang dikumpulkan daripada
pendokumentasian iaitu kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak organisasi gereja, dan
sumber kedua untuk menyokong sumber utama ini diperolehi daripada sumber media di internet.
Sumber-sumber dokumen ini dianalisis menggunakan analisis kandungan yang kemudiannya
dipadankan dengan tema jenis-jenis dan faktor-faktor ketidaktoleransian agama yang dikenalpasti
daripada ulasan literatur. Kajian mendapati, bentuk-bentuk ketidaktoleransian yang dialami oleh
minoriti Kristian dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal.
Faktor yang mendorong kepada ketidaktoleransian agama adalah pelbagai tetapi didominasi oleh
faktor institusi agama yang diidentifikasikan dengan kuasa pemerintah. Gabungan pemerintah dan
institusi agama membentuk satu legitimasi kuasa yang kuat untuk munjustifikasikan tindakan
ketidaktoleransian agama terhadap kumpulan minoriti. Kajian masa depan perlu melihat kepada
faktor yang membawa perubahan kepada institusi agama majoriti menjadi lebih eksklusif daripada
inklusif dalam masyarakat plural di Malaysia.
|