Summary: | Sungguhpun e-Dagang merupakan gaya hidup perdagangan dan beli-belah masa kini, namun pengguna platform e-Dagang lebih banyak dimanfaatkan oleh pembeli dan bukannya penjual. Ini termasuklah kelompok usahawan PKS yang dilihat ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi ini. PKS merupakan antara segmen ekonomi yang menyumbang KDNK terbesar bagi negara. Pada tahun 2020, berlaku penyusutan ketara dari segi sumbangan PKS kepada KDNK negara akibat penutupan premis perniagaan dan perintah kawalan pergerakan. Bagaimanapun ramai PKS tidak cuba mengambil kesempatan daripada krisis kesihatan dan ekonomi ini untuk beralih kepada perniagaan
dalam talian, sedangkan sektor ekonomi digital ini merupakan segmen ekonomi yang paling melonjak ketika dua tahun
negara berada dalam era pandemik. Kemudahan internet tidak digunakan secara optimum oleh golongan PKS untuk
meneroka pasaran baharu melalui perniagaan dan pemasaran digital. Ini membuktikan tingkah laku penerimaan PKS
terhadap e-Dagang masih lagi rendah dan tidak seiring dengan aspirasi Kerajaan. Berhasilnya pelaksanaan niat dan
tingkah laku penerimaan e-Dagang adalah didorong oleh sikap positif, bantuan sokongan sosial serta kawalan tingkah
laku yang baik. Dengan bersandarkan Model Pemecahan Teori Tingkah Laku Terancang (DTPB) dan berpandukan
pemerhatian empirikal, kertas konsep ini menghujahkan kekuatan setiap faktor penentu ini dengan lebih terperinci
dalam meramalkan tingkah laku penerimaan. Hasil perbincangan mendapati niat dan tingkah laku sebenar usahawan
PKS terhadap e-Dagang adalah didorong oleh faktor sikap, norma subjektif dan persepsi kawalan tingkah laku
yang mana didasari oleh kepercayaan persepsi faedah, persepsi mudah guna, keserasian, boleh percaya, pengaruh
interpersonal, pengaruh luaran, efikasi diri dan suasana dorong. Justeru itu, diharapkan perbincangan ini akan dapat
membantu bidang akademik dan praktis dalam memahami fenomena ini selain dijadikan panduan oleh penggubal dasar untuk mengkaji semula ekosistem dan mekanisme e-Dagang negara agar dapat meluaskan lagi penyertaan golongan PKS dalam e-Dagang.
|