Summary: | Kajian ini dijalankan untuk mengkaji peranan kepimpinan kebaktian dalam meramal prestasi kerja. Secara
khususnya, kajian ini menghipotesiskan wujudnya hubungan langsung antara kepimpinan kebaktian dan prestasi
kerja serta hubungan tidak langsung menerusi pemboleh ubah pengantara efikasi kendiri, komitmen organisasi
dan tanggapan keadilan organisasi. Dengan menggunakan data yang dikumpulkan daripada 194 orang penjawat
awam di Malaysia menerusi soal selidik secara atas talian, hipotesis kajian diuji menggunakan kaedah regresi
berhierarki. Dapatan kajian ini menunjukkan wujudnya hubungan langsung yang signifikan antara kepimpinan
kebaktian dengan prestasi kerja. Walau bagaimanapun hubungan tersebut bertukar menjadi tidak signifikan apabila ketiga-tiga pemboleh ubah pengantara diuji bersama dalam model asal. Selaras dengan teori pembelajaran sosial, ekuiti teori dan teori pengekalan sumber, dapatan kajian ini menyumbang kepada literatur dengan membuktikan kepentingan efikasi kendiri, komitmen organisasi dan tanggapan keadilan organisasi sebagai mekanisme yang menerangkan hubungan tidak langsung antara kepimpinan kebaktian dan prestasi kerja
dalam sesebuah organisasi. Secara praktikalnya, kajian ini menyarankan kepada organisasi untuk menggalakan kepimpinan kebaktian yang terbukti akan meningkatkan efikasi kendiri, keadilan dan komitmen dalam kalangan pekerja yang seterusnya menjamin prestasi kerja.
|