Summary: | Kesejahteraan warga emas terlantar amat bergantung kepada penjaga mereka. Justeru, kajian ini akan meneroka
bebanan penjagaan dan kesejahteraan warga emas terlantar di kediaman mereka. Kajian telah dilaksanakan secara
kualitatif menggunakan teknik temubual bersemuka. Seramai 5 orang informan terdiri daripada penjaga warga emas
terlantar di daerah Kota Bharu Kelantan telah berjaya ditemubual secara bersemuka. Hasil kajian telah dianalisis
secara tematik menggunakan analisis manual. Hasil kajian menunjukkan terdapat empat tema beban penjagaan warga
emas terlantar terdiri daripada tahap kebergantungan, masa penjagaan, tingkahlaku warga emas dan keupayaan
daya tindak penjaga. Terdapat warga emas terlantar yang bergantung sepenuhnya kepada seorang penjaga sahaja
dan tidak mahu individu lain melakukan aktiviti harian untuk mereka. Tingkah laku warga emas yang suka marah
dan menengking menuntut kesabaran yang tinggi dan boleh memberi tekanan kepada penjaga. Sebahagian penjaga
perlu memantau warga emas 24jam/7hari sehingga berlaku mengabaikan keperluan diri. Penjagaan berterusan boleh
mengakibatkan penjaga mengalami ‘burnout’ dan ‘spillover’, seterusnya memerlukan masa untuk penjagan diri.
Penjaga mengakui bahawa mereka berisiko mendatangkan kesan buruk kepada warga emas seperti menyakiti hati atau
perbuatan yang menyakitkan. Kesimpulannya, penjaga warga emas terlantar memerlukan masa untuk berehat seketika
(Respite care). Oleh itu, dicadangkan program kesedaran mengenai keperluan penjaga untuk berehat dan penyediaan
kemudahan dan perkhidmatan Respite care oleh pelbagai agensi perlu diperluaskan ke seluruh negara.
|