Summary: | Perkembangan dan kepesatan teknologi semasa menuntut perubahan pendidikan dalam pelaksanaan strategi
pengajaran abad ke-21. Pembelajaran berasaskan projek mod teradun merupakan pendekatan berpusatkan murid
yang mengintegrasikan pembelajaran learn by doing dengan penggunaan teknologi digital. Namun, pendekatan ini
masih terhad dilaksanakan dalam kalangan guru sekolah menengah di Malaysia. Justeru, kajian ini adalah bertujuan
untuk mengenal pasti tahap pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek mod teradun dalam kalangan guru Mata
Pelajaran Vokasional Rekaan dan Jahitan Pakaian di seluruh Malaysia. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif
melalui reka bentuk kajian tinjauan. Seramai 32 guru Mata Pelajaran Vokasional Rekaan dan Jahitan Pakaian
terlibat dalam kajian ini sebagai sampel kajian. Analisis deskriptif dijalankan menggunakan perisian SPSS Statistics
for Mac versi 28.0 bagi menganalisis skor nilai peratusan dan frekuensi. Manakala analisis ujian Kruskal Wallis
dijalankan bagi mengenal pasti pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek mod teradun guru berdasarkan
pengalaman mengajar. Hasil daripada analisis mendapati tahap pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek mod
teradun guru dari aspek kemahiran teknologi dan kemahiran pedagogi berada pada tahap sederhana tinggi,
manakala aspek efikasi kendiri guru berada pada tahap sederhana rendah. Analisis ujian Kruskal Wallis
menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek
mod teradun guru berdasarkan pengalaman mengajar. Hal ini menunjukkan bahawa sokongan profesional
diperlukan agar pendekatan ini menjadi amalan seiring dengan perkembangan teknologi digital. Justeru, semua pihak
berkepentingan berperanan dalam memberi sokongan bagi memastikan pendekatan pembelajaran berpusatkan murid
ini menjadi amalan guru dengan pelaksanaan yang lebih berkesan.
|