Summary: | Sebelum kemunculan wabak COVID-19, ibu tunggal B40 telah menghadapi pelbagai kesukaran dalam membesarkan anak-anak tanpa bantuan dan sokongan suami. Walau bagaimanapun, keadaan telah menjadi lebih teruk apabila pandemik COVID-19 menjejaskan kehidupan ibu tunggal B40 secara mendadak terutamanya dari segi ekonomi. Majoriti ibu tunggal B40 telah kehilangan punca pendapatan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Satu kajian kualitatif telah dijalankan bagi meneroka cabaran ekonomi yang dialami oleh ibu tunggal B40 semasa pandemik COVID-19. Informan kajian ini telah dipilih berdasarkan pensampelan bertujuan dengan menetapkan kriteri-kriteria inklusif seperti ibu tunggal yang bekerja untuk menyara keluarga, berpendapatan dalam kategori B40, mempunyai anak yang masih bersekolah dan bergelar ibu tunggal kerana bercerai atau kematian suami. Kajian ini telah menggunakan kaedah perbincangan kumpulan berfokus (FGD) sebagai kaedah pengumpulan data. Perbincangan kumpulan berfokus ini telah melibatkan 20 orang ibu tunggal B40 di Selangor yang kemudiannya telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Hasil perbincangan kumpulan berfokus mendapati tiga subtema cabaran ekonomi yang dialami oleh ibu tunggal B40 semasa pandemik COVID-19 iaitu penutupan perniagaan, pemotongan gaji atau elaun dan tiada simpanan kecemasan. Hasil kajian ini boleh dijadikan rujukan kepada kajian masa hadapan dan pihak-pihak serta agensi yang tertentu dalam menitikberatkan kesihatan mental ibu tunggal B40 semasa krisis dunia dengan mengambil kira cabaran-cabaran ekonomi yang dihadapi oleh mereka.
|