Summary: | Peranan institusi pengajian tinggi dalam mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan sudah lama
dibincangkan sama ada di negara maju atau negara membangun. Perkembangan terkini menunjukkan, institusi
pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk ideopolis, pendekatan yang telah
diperkenalkan oleh The Work Foundation. Melalui rangka kerja ini, banyak bandar mega telah dibangunkan.
Sementara itu, pusat bandar yang lebih kecil di wilayah ideopolis boleh berfungsi sebagai ideopolis sekunder.
Kajian ini bertujuan menilai keupayaan institusi pengajian tinggi, terutamanya Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) dalam memainkan peranannya menjana fungsi ideopolis dan mengangkat status Bandar Baru Bangi
sebagai sebuah ideopolis sekunder. Penilaian dibuat berdasarkan kepada perspektif komuniti setempat,
khususnya pelajar. Pemacu ideopolis digunakan sebagai kerangka dalam menilai kefungsian ideopolis di
kawasan kajian. Berdasarkan persampelan berstrata sebanyak 120 orang pelajar dikaji selidik. Hasil kajian ini
mendapati bahawa UKM berjaya menyerlahkan status ideopolis sekunder Bandar Baru Bangi melalui
pemerkasaan fungsi ideopolisnya. Kajian ini menyumbang kepada peripentingnya peranan institusi pengajian
tinggi dalam transformasi pembangunan ruang ekonomi dan sosial penduduk di negara ini dan menyumbang
kepada korpus ilmu tentang keupayaan kerangka pendekatan ideopolis dalam membangunkan sesebuah bandar.
|