Summary: | Kajian kes ini dilakukan untuk mengenal pasti tahap kebersihan diri pengendali makanan dan kebersihan kafetaria di kolej
kediaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seramai 75 responden telah terlibat. Data demografi menunjukkan
terdapat responden yang tidak mendapat suntikan demam kepialu (32%) dan tidak mempuyai sijil kursus pengendali
makanan (49.3%). Selain itu, lebih separuh bilangan responden adalah bukan warganegara (50.73%). Dapatan berkaitan
amalan kebersihan diri menunjukkan 7 item mempunyai peratusan yang agak baik (70.3% – 87.5%) manakala 7 item yang
lain mempunyai peratusan kurang baik (26.4% – 68%). Kajian juga menunjukkan terdapat 12 item berkaitan kebersihan
kafetaria yang dipatuhi dan 9 item yang tidak dipatuhi daripada 21 item yang dinilai. Ujian statistik menunjukkan wujud
perbezaan yang signifikan (U = 472, p = 0.01) antara pengendali makanan yang warganegara dan bukan warganegara
di mana warganegara mempunyai amalan kebersihan diri yang lebih baik berbanding bukan warganegara. Dapatan
kajian juga menunjukkan wujud hubungan yang positif dan signifikan di antara kebersihan diri dan kebersihan kafetaria
(χ2 = 6.432, p = 0.011). Walau bagaimanapun, kekuatan hubungannya adalah sederhana (Φ = 0.29). Kesimpulannya,
pengendali makanan yang warganegara mempunyai amalan kebersihan diri yang baik dan akan menjana suasana
persekitaran kafetaria yang bersih.
|