Summary: | Pendedahan terhadap pestisid dapat menyebabkan penurunan paras unsur surih di dalam badan manusia. Unsur
surih memainkan peranan penting dalam metabolisma tubuh. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji paras unsur surih
selenium, zink dan kromium dalam kalangan pesawah yang terdedah kepada pestisid di Wilayah I, MADA, Perlis. Kajian
keratan rentas ini melibatkan 70 orang pesawah dan 57 orang yang tinggal di perkampungan nelayan sebagai kumpulan
kawalan yang berumur di antara 21 hingga 80 tahun. Maklumat sosiodemografi pesawah dilakukan melalui temuduga
borang soal selidik yang telah divalidasi. Pemeriksaan tekanan darah dan glukosa darah pesawah dilakukan. Paras
selenium, zink dan kromium sampel kuku dan rambut dianalisis dengan menggunakan kaedah penghadaman asid dan
mesin Inductively Coupled Plasma-Mass Spectrometry (ICP-MS). Hasil kajian mendapati bahawa paras selenium pada
rambut (5.11 ± 17.05 µg/L) dan kuku (4.92 ± 2.17 µg/L) adalah lebih rendah secara signifikannya (p < 0.05) berbanding
paras selenium pada rambut (15.67 ± 10.59 µg/L) dan kuku (6.67 ± 2.81 µg/L) kumpulan kawalan. Paras kromium
pada rambut (31.83 ± 15.17 µg/L) dan kuku (87.64 ± 23.30 µg/L) kumpulan pesawah juga didapati lebih rendah secara
signifikannya (p < 0.05) berbanding paras kromium pada rambut (85.19 ± 56.90 µg/L) dan kuku (99.36 ± 56.89 µg/L)
pada kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan paras unsur surih yang signifikan (p > 0.05) menurut
tempoh pendedahan pestisid. Kesimpulannya, paras selenium dan kromium pada kuku dan rambut pesawah yang terdedah
kepada pestisid adalah lebih rendah berbanding kumpulan komuniti nelayan.
|