Summary: | Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dirangka bagi memperkasa pendidikan tinggi negara. Antara
perancangan pelan ini adalah memberikan kuasa autonomi kepada pihak universiti untuk menguruskan operasi
universiti. Keadaan ini bergantung kepada kemampuan pihak universiti untuk mencapai peruntukan sasaran
kementerian bagi menanggung kos operasi mengurus dan membangun universiti. Antara strategi kewangan yang
difokuskan dalam pelan ini ialah meningkatkan pendapatan endowmen universiti melalui sumbangan alumni. Walau
bagaimanapun, kesanggupan alumni memberikan sumbangan boleh berubah-ubah dan bergantung kepada beberapa
faktor. Dalam kajian ini, lima faktor sumbangan alumni telah dianalisis iaitu pengurusan kewangan, personaliti
diri, eksternal, pengurusan universiti dan jalinan universiti-komuniti. Faktor-faktor ini turut diinteraksi untuk
menghasilkan indikator yang dikenali pemboleh ubah kitaran sosial. Pemboleh ubah kitaran bertujuan mengukur
impak perubahan faktor-faktor terhadap nilai sumbangan. Ujian regresi diaplikasi untuk menganalisis faktor-faktor
yang dikaji terhadap sumbangan alumni ini. Dapatan analisis menunjukkan bahawa pemboleh ubah kitaran sosial
mempengaruhi secara signifikan terhadap pendapatan endowmen universiti antara 3 hingga 4 peratus. Implikasi
kajian ini membuktikan saluran sumbangan alumni signifikan untuk diteroka oleh pihak universiti bagi menampung
sebahagian defisit peruntukan yang dialami.
|