Summary: | Institusi Kepimpinan telah diberikan kedudukan yang sangat penting dalam ajaran Islam kerana peranannya sebagai ketua masyarakat dan negara sehingga Rasulullah s.a.w telah
mengambil sikap yang tegas menolak permintaan Abu Zar supaya Baginda melantik beliau sebagai pemimpin. Rasulullah s.a.w memberi ingatan keras kepada Abu Zar yang masih berhasrat untuk memegang jawatan utama di Madinah dengan katanya: Sesungguhnya ia (kepimpinan itu) adalah satu kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali bagi orang yang dapat melaksanakannya dengan adil dan amanah. Ini merupakan sebahagian daripada rahsia kepimpinan yang dibawa oleh Islam yang menjadi asas penting kepada kejayaan negara. Kepimpinan silam yang mengamalkan rahsia-rahsia al-Quran telah berjaya
menempa sejarah kegemilangan seperti yang ditunjukkan dalam kepimpinan Rasulullah s.a.w dan Khulafa al-Rasyidin. Namun begitu rahsia-rahsia kepimpinan ini telah diabaikan oleh
golongan pemerintah umat Islam pada zaman mutaakhir, lalu menyebabkan kepimpinan negara menjadi pincang dan disalahgunakan untuk kepentingan diri dan puak, bukan lagi
menjaga kemaslahatan ummah. Sejarah keruntuhan negara yang dipaparkan oleh al-Quran sebenarnya tidak jauh bezanya dengan situasi semasa. Ia banyak menyentuh kedudukan
kepimpinan yang rakus dan zalim sebagai punca kemusnahan tersebut. Oleh itu rahsia-rahsia kepimpinan di dalam al-Quran merupakan ubat terbaik bagi mengatasi kepincangan
kepimpinan semasa, seterusnya mengembalikan kegemilangan institusi kepimpinan yang dibawa oleh Islam? Bertolak dari situ kertas ini akan cuba mengajak umat Islam kembali
kepada rahsia a-Quran dalam menggarap keunggulan dan keunikan sistem kepimpinan Islam agar dapat memberikan panduan yang tepat dan lengkap dalam membentuk pemimpin
Rabbani yang sedia berkhidmat sepenuhnya untuk Islam dan Umatnya. Insya’ Allah.
|