Summary: | Satu kajian untuk mengenalpasti tahap keperluan latihan dalam bidang penternakan lembu telah berjaya dijalankan di beberapa buah kawasan bandar dan perkampungan di sekitar Daerah Alor Gajah, Melaka. Objektif-objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti latarbelakang demografi dan sosio-ekonomi para penternak lembu yang terpilih dalam
kajian, mengenalpasti keperluan-keperluan latihan para penternak berkenaan, dan hubungan antara latarbelakang demografi dan sosio-ekonomi dengan tahap keperluan
latihan mereka. Pengumpulan data dijalankan dengan menggunakan set borang soal selidik yang telah disahkan. Maklumat yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 18.0 dan juga Microsoft Excel 2010. Analisis data telah mengenalpasti ciri-ciri demografi dan sosioekonomi para responden. Sementara itu, kajian telah mendapati bahawa tahap keperluan latihan yang paling diperlukan oleh para penternak adalah kecekapan pengurusan produk. Dari segi hubungan antara faktor-faktor demografi dan sosio-ekonomi (jenis penternakan lembu, umur, taraf pendidikan, pengalaman dalam bidang penternakan dan pengalaman kursus) dengan tahap keperluan latihan, kajian juga telah mendapati bahawa hanya jenis penternakan lembu, taraf pendidikan dan pengalaman dalam bidang penternakan mempunyai hubungan-hubungan yang signifikan dengan tahap keperluan latihan dalam bidang penternakan lembu.
|