Summary: | Kajian ini dilaksanakan bagi mengkaji tahap stres guru, komitmen guru dan
hubungan stres guru (Beban Kerja dan Kemerosotan Disiplin Pelajar) dengan
komitmen guru dalam kalangan guru Sekolah Menengah yang mengajar di kawasan
bandar daerah Sandakan, Sabah. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif iaitu
ujian deskriptif dan inferensi dengan menggunakan data yang dikumpulkan dari
borang soal selidik dan melibatkan seramai 360 orang guru. Kajian menggunakan
borang soal selidik berstruktur yang mengandungi 42 soalan sebagai alat kajian.
Data kajian telah dianalisis dengan Statistical Package For Social Science (SPSS)
Versi 16. Teknik analisis deskriptif digunakan, dan analisis inferensi Ujian-t, ANOVA,
Korelasi Pearson-r digunakan untuk menguji dua hipotesis yang dibentuk. Dapatan
kajian menunjukkan sebilangan besar responden mempunyai tahap komitmen
terhadap organisasi yang sederhana, dengan sebanyak 256 orang (85.33%), begitu
juga menghadapi stres kerja yang sederhana dari faktor-faktor bebanan kerja
(54.7%) dan kemerosotan disiplin pelajar (58.0%). Dapatan kajian juga
menunjukkan tidak terdapat perbezaan tahap komitmen guru terhadap organisasi
berdasarkan ciri umur, jantina, pengalaman mengajar, tahap akademik dan
pendapatan responden dalam kalangan guru yang mengajar di kawasan bandar
daerah Sandakan. Keputusan ujian Korelasi Pearson-r mendapati terdapat
hubungan positif rendah, iaitu masing-masing mencatatkan nilai r=0.281 dan
r=0.282 antara bebanan kerja guru dan kemerosotan disiplin pelajar dengan
komitmen guru terhadap organisasi. Berdasarkan kajian ini, untuk meningkatkan
komitmen terhadap organisasi dalam kalangan guru, usaha-usaha yang lebih
kemas perlu dibuat bagi memastikan pembahagian tugas mengikut kepakaran dan
juga kemerosotan disiplin pelajar dapat dikawal. Pegawai dan kakitangan yang
mempunyai tahap komitmen yang rendah perlu dikenalpasti bagi mendapatkan
idea dan pandangan mereka supaya langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan
dengan lebih berkesan.
|