Summary: | Kajian ini menganalisis teknik pembikinan kesan khas visual ( VfX) dalam dua buah
filem terpilih Malaysia iaitu Hikayat Merong Mahawangsa (2011) dan Libas (2011).
Kajian meliputi jenis-jenis teknik yang digunakan bagi menghasilkan adegan-adegan
yang melibatkan penggunaan skrin hijau (green screen) dan penambahan
imej janaan komputer ketika proses pasca produksi. Analisis naratif dibuat ke atas
teknik dan prosedur pembikinan VFX yang meliputi pra produksi, produksi dan
pasca produksi. Antaranya meliputi papan cerita (storyboard), proses
penggambaran serta penambahan imej janaan komputer yang disesuaikan dengan
rakaman penggambaran. Kaedah kualitatif digunakan bagi kajian ini melalui
penglibatan dan pemerhatian ketika proses penggambaran, temu-ramah bersama
produser, pengarah filem dan penyelia VFX yang terlibat secara langsung dalam
pembikinan filem tersebut. Temuramah yang sarna juga dilakukan dengan individu
yang terlibat dalam industri filem di Malaysia. Data-data sekunder kajian juga
diperolehi melalui daripada jurnal, majalah, surat khabar dan laman web syarikat
perfileman luar negara. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pembikinan dua filem
terpilih tersebut hanya menggunakan teknik asas VFX sahaja. Malah terdapat
adegan-adegan yang dirakam kurang bersesuaian dengan teknik yang diaplikasikan
bagi menghasilkan VFX dalam filem tersebut. Ini menyebabkan pembetulan
terhadap syot imej janaan komputer terpaksa dilakukan sehingga memanjangkan
tempoh pembikinan sesebuah filem. Malah didapati pihak industri filem di Malaysia
masih tidak jelas dengan prosedur dan teknik penghasilan VFX ini menyebabkan
penggunaan kesan tersebut hanya dimonopoli oleh syarikat tertentu dan
mempengaruhi kos pembikinannya. Sekaligus penggunaan VFX masih sedikit
diaplikasikan dalam filem Malaysia. Kajian ini dapat membantu pihak industri dan
penggiat seni yang mahu menceburi dalam bidang ini memahami teknik-teknik dan
prosedur asas pembikinan VFX. Diharap juga ia dapat mengurangkan persepsi
sesetengah pihak yang menyatakan pembikinan VFX adalah sukar dan melibatkan
kos pembikinan yang tinggi. Sekaligus menggalakkan mereka menggunakan
elemen VFX di dalam filem mereka.
|