Summary: | Kajian ini dilakukan untuk mengkaji kesan kombinasi kepekatan gula dan kompleks tabii yang berbeza terhadap pertumbuhan dan perkembangan protokom Phalaenopsis gigantea. Media asas yang digunakan adalah Knudson C (KC) yang dicampurkan dengan 0.1 % arang teraktif. Terdapat empat jenis kepekatan gula iaitu 0, 20 %, 30 % dan 40 % manakala jenis kompleks tabii yang digunakan ialah 0.1 % Pepton, 10 % air kelapa dan 10 % ekstrak kentang. Protokom yang digunakan adalah protokom yang mempunyai 1 daun tanpa akar. Pertumbuhan diukur dengan menentukan peratus bilangan protokom yang menghasilkan 1 daun dengan 1 akar, 1 daun dengan 2 akar, 2 daun tanpa akar, 2 daun dengan 1 akar, 2 daun dengan 2 akar. Keputusan yang diperoleh mendapati media KC yang ditambah 10% ekstrak kentang tanpa gula menunjukkan 33.33 % anak benih berdaun 2 dengan 1 akar manakala media KC yang ditambah dengan 20 %, 30 % dan 40 % gula dengan kombinasi kompleks tabii berbeza telah menyebabkan kematian protokom yang tinggi. Kepekatan gula 0 % menunjukkan perbezaan yang signifikan terhadap pertumbuhan dan perkembangan P. gigantea. Tiada sebarang perbezaan signifikan terhadap pertumbuhan dan perkembangan P. gigantea ditunjukkan oleh kompleks tabii.
|