Summary: | Pemupukan pemikiran kreatif sangat penting diterapkan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah kerana mereka merupakan bakal pewaris dan modal insan negara di masa hadapan. Tujuan kajian ini adalah untuk meneroka bagaimana interaksi seharian antara guru dan kanak-kanak dalam perkembangan pemikiran kreatif kanak-kanak di prasekolah KPM. Kaedah kualitatif digunakan dalam kajian ini. Subjek terdiri daripada tiga orang guru prasekolah yang mengajar di kelas Prasekolah KPM dan semua kanak-kanak di dalam kelas tersebut diperhatikan. Enam orang kanak-kanak pula telah dipilih sebagai sampel bertujuan. Interaksi guru dan kanak-kanak dilihat dari segi gaya pengajaran, penyoalan dan respon guru terhadap pertanyaan atau jawapan kanak-kanak. Hasil kajian menunjukkan bahawa sikap guru memainkan peranan penting dalam menentukan persediaan, penyediaan bahan rangsangan dan emosi guru yang akan mempengaruhi gaya pengajaran guru, emosi serta gaya pembelajaran kanak-kanak. Bahan rangsangan akan mempengaruhi ‘mood’ dan idea kepada guru untuk bertanya soalan seterusnya memupuk pemikiran kreatif kanak-kanak. Namun kajian lanjutan perlu dijalankan untuk mendapatkan gambaran yang lebih luas tentang bagaimanakah interaksi antara guru dengan kanak-kanak dalam ruang yang lebih besar dengan bilangan sampel kajian yang lebih ramai agar kajian ini boleh digeneralisasikan.
|