Summary: | Menyediakan latihan dan kemahiran kepada pelajar ke arah persediaan kerjaya bagi memenuhi keperluan majikan industri merupakan tanggungjawab dan cabaran institusi pengajian teknikal dan vokasional. Kajian dijalankan bertujuan untuk menentukan efikasi kendiri keputusan kerjaya dalam kalangan pelajar. Kajian juga dijalankan untuk menentukan perbezaan efikasi kendiri keputusan kerjaya berdasarkan jantina, pemilihan bidang pengajian pelajar dan perancangan selepas bergraduat. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk menentukan hubungan pencapaian akademik dengan dimensi efikasi kendiri keputusan kerjaya. Tinjauan telah dijalankan kepada 356 orang pelajar kolej komuniti. Pengumpulan data dijalankan dengan menggunakan soal selidik yang diedarkan kepada responden. Literatur menunjukkan efikasi kendiri keputusan kerjaya diperlukan dalam memastikan pelajar berupaya membuat perancangan keputusan kerjaya. Dapatan menunjukkan secara keseluruhan efikasi kendiri keputusan kerjaya berada pada tahap tinggi (Min=4.00, S.P=0.46). Dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan efikasi kendiri keputusan kerjaya berdasarkan jantina [t(354) =.774, p > .05], pemilihan bidang pengajian [t(354) = -.438, p > .05] dan perancangan selepas bergraduat [t(354) = -.459, p > .05]. Terdapat hubungan negatif yang lemah antara pencapaian akademik dengan dimensi penilaian kendiri (r = -.001), terdapat hubungan positif yang lemah antara pencapaian akademik dengan dimensi maklumat pekerjaan (r =.082), dimensi matlamat pilihan (r=.011), dimensi perancangan (r = .005) dan dimensi penyelesaian masalah (r = .047). Dapatan dan keperluan kajian ini berfungsi untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran ke arah bimbingan efikasi kendiri keputusan kerjaya.
|