Metafora konsepsi dan pemikiran dalam peribahasa Melayu dan Perancis berkaitan haiwan

Metafora merupakan salah satu gaya bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu secara tersirat, iaitu melalui penggunaan frasa atau kata yang bermaksud lain daripada frasa dan kata sebenar yang sepatutnya digunakan. Kemampuan semula jadi manusia dalam memberi konsep kepada sesuatu secara metafo...

Full description

Bibliographic Details
Main Author: Salehan, Dinie Asyraf
Format: Thesis
Language:English
Published: 2017
Subjects:
Online Access:http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/67417/1/FBMK%202017%2038%20%20IR.pdf
Description
Summary:Metafora merupakan salah satu gaya bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu secara tersirat, iaitu melalui penggunaan frasa atau kata yang bermaksud lain daripada frasa dan kata sebenar yang sepatutnya digunakan. Kemampuan semula jadi manusia dalam memberi konsep kepada sesuatu secara metaforikal berserta hasrat penyampaian sesuatu perkara secara tersirat menjadikan metafora digunakan dalam peribahasa secara meluas. Masyarakat yang bertutur dalam bahasa Melayu dan Perancis iaitu dua bahasa berbeza turut menggunakan metafora dalam peribahasa-peribahasa, dan salah satu daripada jenis metafora tersebut ialah metafora haiwan. Kajian perbandingan peribahasa berkaitan metafora haiwan ini menyenaraikan tiga objektif iaitu mengenal pasti konsep dan nilai dalam peribahasa Melayu dan Perancis berkaitan metafora haiwan, menganalisis persamaan dan perbezaan penggunaan metafora konsepsi dalam peribahasa Melayu dan Perancis berkaitan metafora haiwan dengan menggunakan Teori Metafora Konsepsi (1980) dan merumuskan kesahan hipotesis Sapir-Whorf (1921,1956) berdasarkan konsep dan metafora konsepsi berkaitan metafora haiwan dalam peribahasa Melayu dan Perancis. Kajian yang mengaplikasikan Teori Metafora Konsepsi (1980) dan Hipotesis Sapir-Whorf (1921,1956) ini menggunakan data peribahasa Melayu dan Perancis daripada sumber-sumber koleksi bercetak dan atas talian. Hasil kajian mendapati 678 peribahasa Melayu dan Perancis berkaitan metafora haiwan dikenal pasti mengandungi konsep dan nilai. Perbandingan antara peribahasa Melayu dan Perancis yang dilakukan menunjukkan bahawa bagi peribahasa yang mengandungi metafora haiwan kesayangan, sebanyak 18 konsep merupakan konsep yang wujud dalam kedua-dua peribahasa manakala 12 konsep merupakan konsep yang hanya disentuh dalam peribahasa satu bahasa sahaja. Kelompok metafora haiwan ternakan pula menunjukkan sejumlah 26 konsep yang dikongsi dan 14 konsep berbeza antara peribahasa-peribahasa tersebut. Sementara itu, nilai negatif merupakan nilai yang paling banyak ditunjukkan oleh peribahasa dengan pelbagai konsep ini. Analisis metafora konsepsi menggunakan Teori Metafora Konsepsi (1980) menunjukkan persamaan 11 metafora konsepsi dan juga perbezaan 130 metafora konsepsi yang dibawa oleh metafora haiwan dalam peribahasa Melayu dan Perancis. Pemikiran masyarakat Melayu dan Perancis yang dianalisis untuk merumuskan kesahan Hipotesis Sapir-Whorf (1921,1956) berkaitan hubungan bahasa dengan pemikiran menunjukkan idea linguistic determinism ditolak manakala idea linguistic relativity boleh diterima. Rumusannya, peribahasa Melayu dan Perancis mempunyai perkongsian dan juga keunikan dari segi konsep, nilai, metafora konsepsi dan pemikiran dalam memenuhi tujuan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat yang bertutur dalam bahasa-bahasa tersebut.