Summary: | Sistem pendidikan negara memberikan fokus kepada peningkatan daya kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) murid dengan hasrat untuk melahirkan masyarakat yang progresif, inovatif dan dinamik pada abad ke-21. Melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), KBAT ini dapat mendorong murid untuk mengaplikasikan pengetahuan agar mampu mendepani masalah dan cabaran masa depan serta menjadi penyumbang kepada perkembangan sains dan teknologi. Sejajar dengan itu, guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan malah bertanggungjawab untuk meningkatkan penguasaan dan penghayatan KBAT. Keupayaan guru menguasai KBAT dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting bagi menjayakan matlamat KBAT. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan kemahiran guru-guru RBT di dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran KBAT. Metodologi kajian ini adalah dengan menggunakan pendekatan kuantitatif sebagai landasan utama mendapatkan data. Seramai 320 orang guru RBT terlibat dalam kajian ini dengan menjawab borang soal selidik yang diedarkan. Data mentah yang diperoleh dianalisis secara deskriptif. Dapatan kajian mendapati, pengetahuan dan kemahiran mengintegrasi KBAT guru-guru RBT berada pada tahap sederhana. Maklumat yang diperoleh adalah sebagai maklum balas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan KBAT dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan KBAT dalam kurikulum.
|