Summary: | Kajian ini menunjukkan bagaimana aplikasi iPad yang diberi nama LiLIN telah
direka dan dibangunkan dengan pendekatan Analisis, Reka bentuk, Pembangunan,
Implementasi dan Penilaian (ADDIE), menggunakan perisian Adobe Photoshop CS6
dan Kwiksher berpaksikan kepada model TPACK. Kajian ini memberi fokus kepada tiga
fasa iaitu fasa analisis, fasa reka bentuk dan fasa pembangunan aplikasi. Fasa analisis
melibatkan kaedah tinjauan kajian lepas dan kajian kes, fasa reka bentuk melibatkan
penyusunan bahan-bahan pembelajaran berpandukan kepada model pedagogi
perantisan kognitif dan penyediaan bahan grafik, dan fasa pembangunan melibatkan
kaedah membina aplikasi menggunakan perisian Adobe Photoshop dan Kwiksher
berpandukan papan cerita yang dibina. Kajian ini telah menghasilkan prototaip aplikasi
LiLIN, iaitu satu aplikasi pendidikan literasi awal untuk kanak-kanak yang
menggabungkan pengetahuan teknologi, pedagogi dan bahan pendidikan dengan
kombinasi yang dinamik. Kandungan pengajarannya diambil daripada Modul literasi
Bahasa Malaysia program LINUS dengan pendekatan pedagogi perantisan kognitif.
LiLIN dipersembahkan dalam bentuk aplikasi iPad dengan ciri-ciri interaktif pelbagai
sentuh, integrasi muzik latar, audio sebutan huruf dan suku kata, serta latihan ejaan
secara interaktif. Cerita kanak-kanak digunakan sebagai latar belakang pembelajaran.
Penggunaan perisian secara berpasangan juga direka bentuk bagi menggalakkan
pembelajaran secara kolaboratif
|