Summary: | Faisal Tehrani merupakan antara pengarang tanah air yang proaktif dan prolifik dalam berkarya.
Beliau aktif dalam menghasilkan pelbagai genre sastera tetapi lebih menyerlah dalam genre
novel. Sepanjang berkarya, pelbagai jenis novel yang dihasilkannya merangkumi novel-novel
remaja dan kini berfokus kepada novel-novel dewasa dan serius, seiring dengan kematangan
dalam dunia kepengarangannya. Novel-novelnya semakin jelas menyuguhkan pemikiran,
idealisme, falsafah, kritikan dan pengamatannya terhadap isu-isu kemasyarakatan dan
kemanusiaan yang berlaku di persekitarannya. Di samping itu, novel-novel yang dihasilkan
sering menunjukkan kelainan dan pembaharuan daripada pelbagai aspek pembinaan novel.
Sehubungan itu, kajian ini bertujuan menganalisis kritikan-kritikan sosial yang diungkapkan
dalam novel-novel terpilih karangan Faisal Tehrani. Sebanyak lima buah novel akan dianalisis,
iaitu Perempuan Politikus Melayu, Manikam Kalbu, Tunggu Teduh Dulu, Bahlut dan Bagaimana
Anyss Naik Ke Langit?. Kritikan sosial yang dianalisis ialah dari tiga aspek, iaitu sosioekonomi,
sosial dan politik. Kajian ini dijalankan secara kualitatif yang melibatkan pembacaan yang rapi
dan pentafsiran sumber bertulis. Sehubungan itu, novel-novel tersebut akan dianalisis secara
tekstual dan konstektual. Novel-novel yang dipilih akan dianalisis berdasarkan tujuan kajian yang
ditetapkan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, Faisal Tehrani menghasilkan novel-novelnya
bukan untuk hiburan semata-mata, tetapi untuk menyuarakan kritikan, perasaaan dan
pandangan terhadap permasalahan-permasalahan sosial berdasarkan perspektifnya sebagai
penulis.
|