Summary: | Dalam kebudayaan Melayu, sirih (Piper betle L.) melambangkan rendah diri dan kehormatan sepertimana dapat diperhatikan daripada pepohon sirih yang menjalar dan memanjat tanpa merosakkan tumbuhan perumah. Menurut pandangan masyarakat Melayu terdahulu, gabungan sirih, kapur, pinang dan gambir secara simboliknya menjelaskan setiap ciri yang perlu ada sebagai orang Melayu. Penggunaan sirih tidak hanya terhad sebagai pembuka bicara dan lambang ketertiban serta hospitaliti Melayu malah turut digunakan dalam perubatan tradisional, ritual serta perhubungan dengan semangat atau makhluk halus. Air kunyahan sirih misalnya dipercayai memiliki unsur kepanasan dan kebesaran yang boleh menghalau atau menakutkan hantu syaitan yang jahat. Kepercayaan ini tidak hanya terhad kepada masyarakat Melayu tetapi juga masyarakat India di Malaysia. Selain membawa simbol kesegaran dan kemakmuran, masyarakat India mempercayai bahawa gabungan sirih, pinang dan kapur dipercayai memiliki unsur-unsur pencipta (Brahman), pelindung (Vishnu) dan juga pemusnah (Shiva) yang penting dalam konteks ritual perubatan mereka. Kajian ini melihat nilai dan simbolisme sirih dalam masyarakat Melayu dan India bagi menilai sama ada wujud persamaan budaya di antara masyarakat Melayu dan India di Malaysia khasnya dan Asia Tenggara amnya.
|