Summary: | Kajian ini membincangkan tentang potensi lignin tandan kosong kelapa sawit (TKKS)
dan lignin TKKS terubahsuai (lignin TKKS-T) sebagai penjerap ion Cu(II) dan Pb(II)
dalam larutan akueus. Lignin TKKS diperoleh melalui proses pengekstrakan likuor hitam
TKKS menggunakan asid sulfurik berkepekatan 20 % v/v. Lignin TKKS-T pula dihasilkan
melalui tindak balas antara lignin TKKS dengan NaOH yang berkepekatan 1 M.
Pencirian lignin TKKS dan lignin TKKS-T dilakukan dengan menggunakan FT-IR,
analisis luas permukaan dan saiz liang, SEM-EDX, CHNS/O, pHZPC dan pHbuburan.
Keputusan analisis yang telah dijalankan mengesahkan bahawa lignin TKKS-T berjaya
dihasilkan. Potensi lignin TKKS dan lignin TKKS-T sebagai penjerap ion Cu(II) dan Pb(II)
kemudiannya dikaji menggunakan parameter seperti pH larutan Cu(II) dan Pb(II), jisim
lignin TKKS dan lignin TKKS-T kadar pengacauan, masa penjerapan pada tiga
kepekatan berbeza (5, 10 dan 20 mgL-1) dan kepekatan awal larutan Cu(II) dan Pb(II)
pada tiga suhu berbeza (27, 37 dan 47 °C). pH merupakan parameter paling dominan
yang mempengaruhi kadar penjerapan ion Cu(II) dan Pb(II) terhadap lignin TKKS dan
lignin TKKS-T. Data penjerapan ion Cu(II) dan Pb(II) ke atas lignin TKKS dan lignin
TKKS-T mematuhi model kinetik pseudo-tertib kedua dengan baik. Berdasarkan
persamaan Langmuir, lignin TKKS-T memberikan nilai muatan penjerapan maksimum
yang tinggi bagi kedua-dua ion logam tersebut. Isoterma penjerapan ion Cu(II) dan
Pb(II) ke atas lignin TKKS dan lignin TKKS-T masing-masing dapat diterangkan
berdasarkan teori model isoterma Freundlich dan Langmuir.
|