Summary: | Selama ini dinyatakan dengan jelas dalam buku-buku tatabahasa Bahasa Melayu (Asraf, 1989; Nik Safiah et al., 2015; Za’ba, 2000), bahawa preposisi dengan wajib diikuti oleh frasa nama untuk membentuk frasa preposisi. Sekiranya preposisi dengan diikuti oleh frasa adjektif, kata adjektif tersebut perlu menerima kata pembenda -nya sebagai unsur wajib bagi membentuk kata nama. Kata nama ini menjadi kepala dalam frasa nama dan seterusnya menjadi komplemen kepada preposisi dengan (Asraf, 1989; Nik Safiah et al., 2015). Walaubagaimanapun, berdasarkan penelitian ke atas data korpus, hasil dapatan kajian ini menemukan beberapa hal yang utama. Pertama, kajian ini mendapati bahawa kata dengan boleh juga diikuti oleh kata adjektif tanpa kehadiran kata -nya. Data kajian ini memperlihatkan bahawa apabila dengan diikuti oleh frasa adjektif sama ada dalam binaan [FA A + -nya] atau [FA A] , binaan yang terhasil adalah frasa atau klausa adverba dan bukannya frasa preposisi kerana frasa tersebut menepati ciri-ciri suatu adverba dengan fungsinya sebagai adverba cara, iaitu dengan maksud ‘cara sesuatu perbuatan itu dilakukan’. Kedua, kajian ini mengkategorikan kata -nya dalam binaan [A + -nya] sebagai kata penguat yang bertugas untuk menguatkan maksud ‘kesangatan’ yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Oleh itu, kata -nya dalam frasa adverba ini bukanlah kata pembenda. Ketiga, kata ‘dengan’ pula bukanlah preposisi tetapi ia adalah kata hubung keterangan yang mengambil klausa sebagai komplemen. Secara keseluruhannya struktur dengan + klausa komplemen dalam dapatan tersebut adalah klausa keterangan/adverba. Analisis kajian ini tertumpu kepada ayat yang mengandungi struktur binaan predikat [kata kerja ber- + dengan + komplemen] dengan klausa dengan + [FA A + -nya]/[FA A] adalah klausa adverba yang menyatakan maksud ‘cara sesuatu perbuatan/tindakan dilakukan’. Kajian ini memanfaatkan Korpus DBP dalam talian dan ayat -ayat contoh dalam karya ilmiah tentang tatabahasa bahasa Melayu.
|