Summary: | Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan strategi pembelajaran bahasa Melayu (SPBM) bagi kemahiran membaca dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di wilayah Yala, Selatan Thailand. Kajian ini berlandaskan Klasifikasi Strategi Pembelajaran Bahasa (Wenden, 1991) yang membahagikan strategi pembelajaran kepada dua, iaitu (i) strategi kognitif: memilih maklumat, memahami, simpan, dan dapatkan semula maklumat; dan (ii) strategi pengurusan diri: memantau atau menguruskan proses pembelajaran seperti pembelajaran kendiri. Seramai 30 orang pelajar telah dipilih secara rawak mudah bagi menjawab borang soal selidik. Data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Science (SPSS) versi 23.0 dengan menggunakan statistik deskriptif. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar IPT mempunyai tahap penguasaan kemahiran membaca bahasa Melayu pada tahap yang sederhana (3.23). Tumpuan ketika guru membaca teks bahasa Melayu (min, 3.60) merupakan SPB yang paling kerap digunakan oleh pelajar IPT di Yala. Kajian ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan guru bagi memilih strategi pembelajaran bahasa yang sesuai supaya dapat meningkatkan tahap penguasaan membaca bahasa Melayu dalam kalangan pelajar khususnya pelajar yang mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa asing.
|