Summary: | Kerosakan jalan raya akibat banjir boleh memberi kesan kepada perbelanjaan
yang besar untuk pemulihan dan penyelenggaraan selepas berlakunya bencana banjir.
Apabila banjir berlaku, subgred jalan raya adalah lapisan yang paling mudah terdedah
kepada kesan banjir kerana ia berada di bahagian bawah struktur jalan raya. Kajian ini
bertujuan untuk mengenal pasti ciri-ciri banjir dan menganggar kandungan lembapan
bagi jalan raya yang ditenggelami banjir. Ia merangkumi klasifikasi bagi kedalaman
banjir, tempoh masa banjir dan banjir berulang berdasarkan peristiwa banjir sebenar
dari tahun 1991 sehingga 2014 yang berlaku di jalan raya seluruh Malaysia. Klasifikasi
ini digunakan bagi membina rig simulasi banjir untuk mengkaji variasi kandungan
lembapan dalam subgred tanah berdasarkan kedalaman, tempoh masa dan kekerapan
banjir. Kajian ini mendedahkan bahawa kedalaman banjir yang berlaku di jalan raya
boleh diklasifikasikan kepada 0.3 m, 0.6 m dan 1.0 m bagi pelbagai kategori banjir.
Kajian ini juga mendedahkan kemerosotan subgred bagi banjir berulang pertama dan
banjir berulang kedua adalah melebihi 50% berdasarkan kedalaman dan tempoh masa
tertentu. Walau bagaimanapun kesan kemerosotan subgred banjir berulang kedua
adalah lebih signifikan daripada banjir berulang pertama. Terdapat hubungan yang
kuat di antara kandungan kelembapan dan kekuatan subgred dengan koefisien korelasi
R2 untuk banjir tidak berulang ialah 0.80 manakala bagi banjir berulang ialah 0.79.
Kajian ini juga berjaya membangunkan prosedur Model fizikal Simulasi Banjir (MSB)
untuk pengujian tanah bagi kawasan berisiko banjir.
|