Summary: | Komposit matriks logam (KML) terdiri daripada fasa matriks logam yang diperkuat
dengan penguat supaya sifat mekanikal matriks ditingkatkan. Penguat yang boleh
ditambahkan dalam KML ialah filamen tungsten dan seramik. Penambahan partikel
seramik ke dalam matriks logam dapat meningkatkan sifat mekanikal KML. Saiz partikel
penguat merupakan satu faktor mikroskopik yang boleh mempengaruhi sifat-sifat KML. Di
dalam kajian ini, serbuk aluminium dicampurkan 10 peratus berat serbuk alumina bersaiz
0.3 µm, 1.0 µm, 3.0 µm, 12.5 µm dan 25.0 µm melalui kaedah metalurgi serbuk. Sifat-sifat
komposit diuji pada peringkat pencampuran, penekanan dan pensinteran. Morfologi iaitu
taburan partikel penguat pada permukaan dan keratan rentas spesimen, permukaan
spesimen yang haus serta patah diperhatikan di bawah mikroskop. Sifat-sifat yang diuji
ialah fizikal dan mekanikal. Sifat fizikal yang dikaji ialah ketumpatan serbuk, ketumpatan
sebelum serta selepas pensinteran dan peratus perubahan linear. Sifat mekanikal yang
dikaji ialah kekerasan, modulus sonik, pekali pengembangan terma, haus, kekuatan lentur
dan kekuatan tegangan. Secara teori, saiz partikel alumina yang semakin kecil akan
menunjukkan peningkatan sifat mekanikal dan ketumpatan. Daripada keputusan, partikel
alumina tertabur secara seragam apabila saiz partikel semakin bertambah besar. Serbuk
alumina dengan saiz 1.0 μm mempunyai sifat ketumpatan dan mekanikal yang paling
rendah. Serbuk alumina bersaiz 25.0 μm menunjukkan sifat kekerasan, rintangan haus dan
kekuatan lentur yang paling rendah. Serbuk alumina bersaiz 0.3 μm pula menunjukkan
sifat ketumpatan, kekerasan, modulus sonik, pengembangan terma, rintangan hausan dan
kekuatan lentur yang paling tinggi.
|