Summary: | Projek ini dijalankan dengan tujuan untuk mengkaji sifat-sifat kaolin tempatan
untuk kegunaan industri kertas. Kajian ini melibatkan sifat-sifat kimia dan fizikal.
Sampel diperolehi dari kawasan sekitar Gua Musang, Kelantan.
Kaolin merupakan satu bahan yang berwarna putih dan berbutir halus. Ia dikaji
untuk mengetahui kesesuaiannya dalam sesuatu kegunaan industri.
Beberapa ujian pencirian telah dijalankan ke atas setiap sampel iaitu penentuan
taburan saiz partikel, luas permukaan, kecerahan, warna, kelikatan, kelembapan,
komposisi kimia, kehilangan bahan meruap dan juga pH. Ujian pencirian ini dijalankan
untuk menunjukkan kesesuaian kegunaan kaolin dalam industri kertas.
Berdasarkan kepada ujian pencirian, didapati kaolin Gua Musang kurang sesuai
untuk digunakan dalam pembuatan kertas. Oleh yang demikian, sampel kaolin ini perlu
melalui satu proses benefisiasi melalui teknik delaminasi. Delaminasi adalah satu
proses iaitu sejumlah besar susunan kaolinit diasingkan kepada beberapa kepingan
nipis. Proses ini melibatkan pengocakan buburan kaolin pada terikan tinggi dengan
palet pada ketumpatan pukal yang optimum.
|