Summary: | Kajian ini dijalankan untuk mengkaji ciri-ciri kimia, mineralogi, fizikal dan sifat0sifat jasad bakar lempung dan melihat kesesuaiannya untuk kegunaan dalam
industri seramik terutamanya industri jubin. Lima sampel dikutip dari empat
kawasan di Sarawak Barat yang setiap satunya diambil di Kampung Sebangkoi,
Kawasan Jaong dan Telaga Air serta dua sampel dikutip di Kampung Keranji Serayan.
Kajian mineralogi dan kajian kimia dijalankan untuk mengenalpasti
kehadiran fasa mineral dan kandungan oksida dalam sampel. Analisis yang telah
dijalankan ialah analisis sinar-x, penentuan morfologi, analisis taburan saiz partikel,
penentuan pH, penentuan kandungan bahan meruap dan kandungan lengasan.
Manakala kajian sifat fizikal lempung pula dijalankan untuk mengenalpasti ciri-ciri
fizikal sampel dan kajian yang telah dijalankan ialah penentuan spesifik graviti,
penentuan indeks keplastikan dan pemerhatian warna sampel mentah. Kajian juga
dijalankan ke atas sampel bakar bagi menentukan sifat-sifat jasad selepas bakar.
Kajian yang telah dijalankan ialah ujian kecut bakar, ujian kekuatan , pemerhatian
warna jasad, ujian keliangan, serap air dan ketumpatan pukal.
Daripada kajian ini, didapati kesemua sampel mempunyai kandungan fasa
mineral yang sama iaitu kaolinit, illit, mika dan kuarza. Peratus oksida juga
menunjukkan kewujudan oksida yang hampir sama cuma berbeza dari segi
kuantitinya. Kesemua sampel mempunyai morfologi berbentuk emping
berkepingan yang menunjukkan kewujudan kaolinit. Bagi analisis partikel saiz,
kesemua sampel mempunyai peratus partikel kurang dari dua mikron yang melebihi
40% kecuali sampel Jaong. Oleh sebab itu, sampel Jaong mempunyai indeks
keplastikan yang rendah. Untuk jasad bakar pula, sampel yang mengalami kecut
bakar yang tinggi akan mempunyai kadar keliangan yang sedikit dan akan
mempunyai kadar serapan air yang rendah. Namun begitu, ia akan mempunyai
ketumpatan pukal yang tinggi. Selain itu, kekuatan jasad juga akan meningkat
dengan peningkatan suhu. Warna jasad akan menjadi semakin putih dengan
kenaikan suhu.
Selepas dibandingkan dengan spesifikasi LORENZ, tidak ada sampel yang
memenuhi kesemua spesifikasi yang telah ditetapkan. Namun begitu, sampel dari
Kampung Keranji-Serayan (B) mempunyai ciri-ciri yang hampir memenuhi
spesifikasi ini. Oleh itu, sampel dari Kampung Keranji-Serayan (B) dicadangkan
sebagai sampel yang sesuai digunakan dalam industi jubin dinding dan jubin lantai.
|