Summary: | Faktor pelarasan halangan ketika bas berhenti merupakan satu pembetulan bagi aliran
tepu kenderaan yang bergerak melalui persimpangan lampu isyarat. Iaitu, aliran tepu
yang berlaku di persimpangan berlampu isyarat bagi kenderaan yang mengalami
kesan halangan ketika terdapat bas yang berhenti di perhentian bas pada jarak kira-kira 7.5 meter daripada persimpangan merupakan salah satu parameter kejuruteraan
lalu lintas yang biasanya mempengaruhi kapasiti sesuatu persimpangan berlampu
isyarat. Parameter-parameter lain yang mempengaruhi kapasiti dan aras
perkhidmatan di persimpangan berlampu isyarat ialah perbarisan kenderaan, ruang
yang diterima dan kelengahan. Dalam pergerakan lalu lintas di persimpangan
berlampu isyarat akan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti komposisi lalu lintas,
keadaan geometri jalan raya, ciri-ciri lorong samada untuk pergerakan terus dan
pergerakan membelok. Sebagai seorang jurutera rekabentuk bertanggungjawab untuk
memastikan persimpangan yang direkabentuk tidak mengalami masalah kesesakan
untuk satu tempoh masa tertentu. Seorang jurutera rekabentuk akan cuba
mengandaikan kadar aliran kenderaan yang melalui persimpangan berlampu isyarat
tersebut dengan mempertimbangkan beberapa faktor pelarasan seperti faktor
pelarasan halangan ketika bas berhenti, pelarasan cerun dan sebagainya. Di samping
itu, kajian-kajian telah dilakukan di beberapa persimpangan berlampu isyarat di Jalan
Sungai Dua dan Jalan Makro. Dalam kajian ini, kaedah data cerapan lapangan,
kaedah Highway Capacity Manual 1994, kaedah Arahan Teknik Jalan 13/87 telah
digunakan untuk mendapatkan aliran tepu di persimpangan-persimpangan tersebut.
Kemudian keputusan yang diperolehi dibandingkan di antara satu kaedah dengan
kaedah lain. Berdasarkan perbandingan yang dibuat, kaedah penganalisisan yang
paling tepat akan diperolehi. Sebagai hasil kajian, kadar aliran tepu berdasarkan data
cerapan di persimpangan tersebut adalah lebih menghampiri kadar aliran tepu yang
dianalisiskan berdasarkan kaedah HCM 1994 berbanding hasil analisis dengan
menggunakan kaedah Arahan Teknik Jalan 13/87. Ini adalah disebabkan dalam
kaedah HCM 1994 menimbangkan faktor kesan halangan ketika bas berhenti,
memandangkan lokasi persimpangan lampu isyarat tersebut terdapat perhentian bas
yang berdekatan.
|